08 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Esok atau lusa (Khamis atau Jumaat) kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini setelah sebulan berpuasa. Pada pagi ini Rabu 8 September, ramai staf yang mula bercuti untuk balik kampung beraya bersama-sama sanak suadara dan rakan taulan.

Semasa perjalanan saya ke kampus seawal jam 6.30 pagi, saya dapati lebuh raya utara selatan sudah dipenuhi dengan kereta, bertali arus menuju ke utara. Mereka mungkin menyahut seruan polis trafik agar bermula seawal mungkin bagi mereka yang akan bertolak balik ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Bagi mereka yang tinggal di Perak diminta bertolak pada waktu tengahari. InsyaAllah dengan mematuhi jadual perjalanan yang disediakan oleh polis trafik, kesesakan keenderaan di lebuh raya dapat diatasi.

Saya akan bertolak balik ke Kedah pada petang ini selepas waktu pejabat. Pada pagi ini masih bekerja, mula dengan mesyuarat kesepakaran diikuti dengan temuduga pegawai akademik. Esok mula bercuti dan berharap hari raya pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Kalau jatuh pada hari Khamis bermakna saya pulang ke kampung pada malam raya.

Pada hari raya tahun ini, saya menyusun jari memohon maaf kepada warga UPSI dan pelajar jika ada silap dan salah selama saya bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Mungkin ada terkasar bahasa semasa mempengerusi mesyuarat dan perbincangan atau menyingung mana-mana pihak semasa menjalankan tugas. Semoga hubungan silaturrahim yang terjalin sesama kita akan terus berkekalan. InsyaAllah.

Bagi yang pulang berhari raya, saya ucapkan Selamat Berhari Raya, dan pandulah dengan cermat dan patuhi undang-undang jalan raya. Jangan terburu-buru. Jadilah pemandu yang berbudi bahasa dan bertimbang rasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan