18 Oktober 2010

Majlis Konvo sudah berakhir.........

  1. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana Majlis Konvo yang berlangsung daripada 13 - 17 Oktober 2010 telah berakhir. Seramai 5207 graduan telah menerima ijazah dan diploma masing-masing.
  2. Majlis konvo kali ini ada kelainan sedikit. Dekan tidak payah menyebut nama graduan lagi. Semuanya dirakam terlebih dahulu. Masa menyampaikan ijazah dan diploma menjadi lebih pendek dan cepat. Yang pentingnya banyak masa kepada graduat mengambil gambar sekeliling kampus bersama keluarga
  3. Tahniah kepada semua graduan yang menerima ijazah dan diploma pada majlis konvo pada kali. Mungkin ramai yang telah bekerja. Tahniah kepada anda yang sudah bekerja dan yang belum bekerja, bersabar anda juga akan bekerja apabila tiba harinya. Sebelum hari itu, carilah kerja yang boleh anda lakukan sementara menunggu penempatan ke sekolah.
  4. Ada di kalangan graduan yang menerima ijazah dan diploma sudah berumahtangga. Selamat pengantin baharu dan selamat menempuh alam baharu sebagai suami dan isteri. Jadilah suami dan isteri yang mithali --- hidup bahagia dan saling memahami antara satu sama lain.
  5. Bagi mereka yang menjadi guru, jadilah guru yang mempunyai cita-cita tinggi untuk membantu anak bangsa menjadi manusia yang cemerlang pada suatu hari nanti. Sebagai guru, jangan berhenti belajar. Teruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi, sarjana dan PhD.
  6. Perjalanan majlis konvo kali ini lancar walaupun ada sedikit sebanyak kesilapan yang tidak menjejaskan keseluruhan majlis. Kepada semua petugas dan pemuzik diucapkan ribuan terima kasih daun keladi. Tahun depan berjumpa lagi. InsyaAllah.

12 Oktober 2010

SELAMAT BERGRADUAT

  1. Mulai esok sehingga 17 Oktober (Ahad) UPSI akan mengadakan Majlis Konvokesyen. Pada kali lebih 5000 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing. Tahniah diucapkan kepada semua graduan di atas kejayaan menamatkan pengajian di UPSI
  2. UPSI juga sedang mengumpul data untuk mengetahui sejauh mana graduan UPSI yang telah bergraduat mendapat pekerjaan. Dari segi logiknya, sudah tentu 100% graduan bekerja sebagai guru. Namun, terdapat juga graduan UPSI yang memilih untuk menceburi bidang pekerjaan lain.
  3. Pesta konvokesyen akan bermula 12 Oktober. Perasmian akan dilakukan oleh Yang Berbahagia mantan Naib canselor Dato Dr. Mohd Noor Salleh. Seperti biasa pelbagai gerai jualan pelbagai jenis barangan disediakan. Pada kali ini kita berharap lebih ramai pelajar UPSI terlibat dalam menjalankan perniagaan ini. Ini adalah suatu cara untuk melatih pelajar UPSI menjadi ahli perniagaan dan usahawan.
  4. Konvokesyen pada kali ini akan menyaksikan beberapa perubahan dilakukan. Ini termasuk penganugerahan ijazah kehormat kedoktoran dan sarjana. Seorang menerima ijazah kehormat kedoktoran dan dua menerima ijazah kehormat sarjana. Tahniah kepada mereka. Selain itu, mantan Timbalan Naib Canselor Akademik menerima Profesor Emeritus. Dekan tidak perlu menyebut nama graduan. Mereka hanya perlu memberi senyuman dan penghormatan kepada graduan daripada fakulti masing-masing

04 Oktober 2010

  1. Balik dari beraya, banyak kerja terutama mesyuarat menunggu. Bermula dengan mesyuarat meja bulat pemansuhan UPSR dan PMR di Putrajaya. Lepas tu mesyuarat pensiswazahan guru sekolah rendah dan menengah. Mesyuarat dalaman di UPSI dan temuduga pensyarah baharu. Banyak lagi.
  2. Tentang pensiswazahan guru, KPM merancang untuk mensiswazahkan guru sekolah rendah yang sekarang 28% kepada 60% dan guru sekolah menengah daripada 89.4% kepada 90%. Jumlah guru sekolah menengah yang belum disiswazahkan dah tak ramai. Tak sampai 10,000 untuk dijadikan 90% guru sekolah menengah berijazah.
  3. Yang paling ramai ialah guru sekolah rendah. Untuk mencapai target 60% menjelang tahun 2015, KPM perlu mensiswazahkan lebih kurang 57,000 guru. IPG tidak mampu menjalankan tugas ini dalam tempoh yang singkat. Atas sebab itu, peranan ini perlu dibantu oleh IPTA dan IPTS.
  4. IPTA diberi 40%, IPG diberi 40% dan 20% untuk IPTS. Jumlah untuk IPTA ialah lebih kurang 22,000. Jumlah ini telah diagihkan kepada 8 IPTA yang ingin terlibat dalam mensiswazahkan guru sekolah rendah ini. Mod pengajian ialah pendidikan jarak jauh.
  5. UPSI telah merancang untuk turut terlibat dalam program ini. Lebih 9,000 guru sekolah rendah mengikut bidang atau mata pelajaran akan dilatih oleh UPSI mulai Mac 2011 dan 2012. Ini untuk memastikan guru berkenaan bergraduat pada tahun 2014 dan 2015. Jika semua berjalan dengan lancar, sebanyak 60% guru berijazah akan mengajar di sekolah rendah menjelang tahun 2015.

13 September 2010

Selamat Berhari Raya

Sudah 4 hari kita beraya. Esok Selasa ada yang mula bekerja. Walaupun Isnin hari ini bukan hari cuti tetapi ramai yang bercuti. Tetapi petang ini anak saya yang pulang ke Bandar Baru Bangi menyatakan kenderaan banyak di lebuhraya. Hampir dua jam dari Jitra ke Kepala Batas Pulau Pinang. Ini bermakna ramai yang akan mula bekerja pada esok hari Selasa. Begitu juga dengan sekolah, murid akan mula bersekolah esok Selasa bagi sekolah-sekolah yang tidak mengambil cuti.

Di UPSI pun ramai yang akan mula bekerja esok Selasa. Pada hari Khamis kita akan bercuti menyambut Hari Malaysia. Ini bermakna cuti lagi. Sebab itu ramai yang mengambil cuti panjang, mulai Isnin hari ini sehingga Ahad 19 September. Saya pun bercuti sehingga hari Ahad. Mula bekerja pada hari Isnin 20 September.

Cuti raya kali ini banyak dihabiskan di kampung bersama-sama keluarga. Berjalan dari sebuah rumah saudara ke rumah suadara yang terdekat. Banyak bercerita pengalaman masing-masing sejak berpisah dan semasa bersama-sama tinggal sekampung. Ramai sanak suadara dah berhijrah bekerja di Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur. Ada yang bekerja jauh di selatan tanah air di Johor Bahru.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai guru, termasuk tiga orang anak saya juga bekerja sebagai guru. Masing-masing bercerita pengalaman mengajar di sekolah masing-masing. Seronok mendengar cerita mereka semasa di sekolah, cerita kerenah murid nakal dan yang lambat menerima pengajaran guru. Ada pelbagai tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah murid bermasalah pembelajaran dan yang nakal. Pengalaman ini tidak dipelajari semasa belajar di universiti.

Untuk membolehkan bakal graduan UPSI berhadapan dengan murid bermasalah pembelajaran ini dengan lebih yakin, saya telah meminta Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia menawarkan kursus mengajar murid bermasalah pembelajaran. Kursus ini akan diadakan sebagai salah satu dalam program "Finishing School". Selain itu, pelajar yang masih belum keluar menjalani latihan mengajar diminta mencuba mengajar kelas-kelas murid bermasalah pembelajaran di sekolah bitara. Perbincangan telah dibuat dengan pengetua sekolah bitara untuk tujuan ini dan mereka menyokong dan sanggup membantu.

08 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Esok atau lusa (Khamis atau Jumaat) kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini setelah sebulan berpuasa. Pada pagi ini Rabu 8 September, ramai staf yang mula bercuti untuk balik kampung beraya bersama-sama sanak suadara dan rakan taulan.

Semasa perjalanan saya ke kampus seawal jam 6.30 pagi, saya dapati lebuh raya utara selatan sudah dipenuhi dengan kereta, bertali arus menuju ke utara. Mereka mungkin menyahut seruan polis trafik agar bermula seawal mungkin bagi mereka yang akan bertolak balik ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Bagi mereka yang tinggal di Perak diminta bertolak pada waktu tengahari. InsyaAllah dengan mematuhi jadual perjalanan yang disediakan oleh polis trafik, kesesakan keenderaan di lebuh raya dapat diatasi.

Saya akan bertolak balik ke Kedah pada petang ini selepas waktu pejabat. Pada pagi ini masih bekerja, mula dengan mesyuarat kesepakaran diikuti dengan temuduga pegawai akademik. Esok mula bercuti dan berharap hari raya pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Kalau jatuh pada hari Khamis bermakna saya pulang ke kampung pada malam raya.

Pada hari raya tahun ini, saya menyusun jari memohon maaf kepada warga UPSI dan pelajar jika ada silap dan salah selama saya bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Mungkin ada terkasar bahasa semasa mempengerusi mesyuarat dan perbincangan atau menyingung mana-mana pihak semasa menjalankan tugas. Semoga hubungan silaturrahim yang terjalin sesama kita akan terus berkekalan. InsyaAllah.

Bagi yang pulang berhari raya, saya ucapkan Selamat Berhari Raya, dan pandulah dengan cermat dan patuhi undang-undang jalan raya. Jangan terburu-buru. Jadilah pemandu yang berbudi bahasa dan bertimbang rasa.


04 September 2010

Tahniah kepada YBhg Dato NC

  1. Kita ucapkan tahniah kepada YBhg Dato NC kerana dilantik semula sebagai NC. Sumbangan beliau selama 3 tahun yang lepas sangat memberi makna kepada warga UPSI sama ada staf atau pelajar.
  2. Dengan perlantikan ini membolehkan beliau terus memberi sumbangan kepada UPSI ke arah menjadi universiti cemerlang setanding dengan universiti ternama di dalam negara dan serantau. Malah UPSI terus mengembangkan sayapnya membina rangkaian dengan universiti luar negara.
  3. Pada 28 Ogos yang lalu, seramai 49 pelajar program ISMP (Bahasa Cina) dengan Kepujian meneruskan pengajian mereka di China selama setahun. Sebelum itu, kita telah mengadakan persembahan orkestra bersama dengan Universiti Southwest China pada bulan Julai 2010. Kita juga telah menerima pelajar China meneruskan pengajian di UPSI dalam bidang Muzik, Teknologi Maklumat dan Perniagaan. Pada bulan November 2010, kita akan mengadakan seminar bersama dengan Universiti Pendidikan Indonesia, Bandung. Seminar ini akan diadakan di UPI dan staf UPSI akan membentangkan kertas kerja dalam seminar berkenaan.
  4. Kita juga telah menghantar pelajar kita menjalani latihan mengajar di Palembang, Indonesia dan Gwanju, Korea Selatan. Seramai 5 pelajar mengikuti pengajian di Filipina selama satu semester. Program mobiliti pelajar ini akan diteruskan dengan melibatkan pelajar di beberapa buah universiti di luar.
  5. Program mobiliti pelajar di antara universiti dalam negara akan terus diadakan. Pada semester ini hanya 14 pelajar terlibat. Pada semester sebelumnya, 69 pelajar terlibat. Untuk semester akan datang, pelajar yang berminat boleh memaklumkan kepada pihak fakulti masing-masing keinginan untuk menyertai program ini.
  6. Semua aktiviti pengantarabangsaan ini berjaya dilaksanakan dengan adanya sokongan penuh daripada YBhg Dato NC. Beliau telah membuka laluan untuk program ini dilaksanakan.