13 September 2010

Selamat Berhari Raya

Sudah 4 hari kita beraya. Esok Selasa ada yang mula bekerja. Walaupun Isnin hari ini bukan hari cuti tetapi ramai yang bercuti. Tetapi petang ini anak saya yang pulang ke Bandar Baru Bangi menyatakan kenderaan banyak di lebuhraya. Hampir dua jam dari Jitra ke Kepala Batas Pulau Pinang. Ini bermakna ramai yang akan mula bekerja pada esok hari Selasa. Begitu juga dengan sekolah, murid akan mula bersekolah esok Selasa bagi sekolah-sekolah yang tidak mengambil cuti.

Di UPSI pun ramai yang akan mula bekerja esok Selasa. Pada hari Khamis kita akan bercuti menyambut Hari Malaysia. Ini bermakna cuti lagi. Sebab itu ramai yang mengambil cuti panjang, mulai Isnin hari ini sehingga Ahad 19 September. Saya pun bercuti sehingga hari Ahad. Mula bekerja pada hari Isnin 20 September.

Cuti raya kali ini banyak dihabiskan di kampung bersama-sama keluarga. Berjalan dari sebuah rumah saudara ke rumah suadara yang terdekat. Banyak bercerita pengalaman masing-masing sejak berpisah dan semasa bersama-sama tinggal sekampung. Ramai sanak suadara dah berhijrah bekerja di Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur. Ada yang bekerja jauh di selatan tanah air di Johor Bahru.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai guru, termasuk tiga orang anak saya juga bekerja sebagai guru. Masing-masing bercerita pengalaman mengajar di sekolah masing-masing. Seronok mendengar cerita mereka semasa di sekolah, cerita kerenah murid nakal dan yang lambat menerima pengajaran guru. Ada pelbagai tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah murid bermasalah pembelajaran dan yang nakal. Pengalaman ini tidak dipelajari semasa belajar di universiti.

Untuk membolehkan bakal graduan UPSI berhadapan dengan murid bermasalah pembelajaran ini dengan lebih yakin, saya telah meminta Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia menawarkan kursus mengajar murid bermasalah pembelajaran. Kursus ini akan diadakan sebagai salah satu dalam program "Finishing School". Selain itu, pelajar yang masih belum keluar menjalani latihan mengajar diminta mencuba mengajar kelas-kelas murid bermasalah pembelajaran di sekolah bitara. Perbincangan telah dibuat dengan pengetua sekolah bitara untuk tujuan ini dan mereka menyokong dan sanggup membantu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan