05 Mei 2011

Assalammualaikum WBT

Semua pelajar UPSI yang dikasihi sekelian



  1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua pelajar. Sepertimana yang semua pelajar sedia maklum, cuti pada kali ini sangat panjang, iaitu selama lebih 4 bulan. Semester akan datang akan bermula pada awal bulan September nanti.

  2. Pada cuti yang panjang ini, UPSI telah menyusun pelbagai aktiviti yang boleh diceburi oleh pelajar. Salah satu aktiviti yang telah dirancang ialah latihan mengajar bagi mereka yang berada di Semester 7 dan 8. Lebih 2500 pelajar telah mendaftar untuk menjalani latihan mengajar pada waktu ini yang akan bermula pada awal Mei. Pada semester September nanti pelajar Semester 7 akan kembali ke kampus untuk melengkapkan pengajian mereka. Mereka juga dapat menamatkan pengajian mereka lebih awal.

  3. Selain itu, UPSI juga menawarkan program finishing school yang dikendalikan BHEPA untuk pelajar yang mempunyai kekurangan dalam beberapa aspek sebelum memulakan tugas sebagai guru. Antaranya cara menghadapi temuduga, menyediakan minit mesyuarat, mengurus kokurikulum dan sebagainya. Bagi mereka yang merasakan diri mereka masih lemah berbahasa Inggeris, kursus pendek Bahasa Inggeris ditawarkan.

  4. UPSI juga buat pertama kali menawarkan beberapa kursus yang mendapat permintaan pelajar untuk ditawarkan. Bagaimanapun pelajar diminta membayar bagi mengikuti kursus yang ditawarkan secara intensif ini. Pembayaran adalah berdasarkan jam kredit. Setiap jam kredit, sebanyak RM30 dikenakan. Jadi bagi kursus 3 jam kredit, pelajar perlu membayar RM90. Mengikuti kursus berbayar ini bukanlah wajib, dan pelajar boleh memilih untuk tidak mengikuti mana-mana kursus sekiranya tidak berminat, tidak berkeupyaan dan ingin memberi fokus kepada perkara lain semasa cuti panjang ini. Bagi mereka yang memilih untuk mengikuti kursus pada masa cuti ini, berbuat demikian membolehkan mereka mengurangkan beban pembelajaran pada semester berikutnya. Pelajar juga diminta membayar yuran lain selain yuran pendaftaran jika mahu belajar pada semester ini. Begitu juga kepada pelajar yang ingin mengulangi kursus yang mereka gagal. Mereka sepatutnya menggunakan semester khas ini untuk mengulangi kursus yang mereka gagal itu.

  5. Bagi mereka yang ingin tahu dengan lebih detail lagi penawaran kursus di dalam semester khas ini, anda boleh berjumpa dengan pegawai di Bahagian Akademik (BHEA) dan juga fakulti untuk bertanyakan soalan tentang perkara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan